Berita SemasaSukan

Azam Azmi digantung dua perlawanan, denda USD1,000 oleh AFF

BANGI – Jawatankuasa Disiplin Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) menjatuhkan hukuman gantung dua perlawanan dan denda sebanyak USD1,000 kepada pemain pertahanan skuad kebangsaan, Azam Azmi Murad susulan kekasaran dalam perlawanan Malaysia – Vietnam pada 27 Disember lalu.

Menurut laman Flash Sukan, perkara itu diputuskan melalui mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan Etika AFF selepas mendapati Azam Azmi bersalah melakukan kekasaran kepada pemain Vietnam, Doan Van Hau dalam perlawanan di My Dinh, Hanoi.

Tindakan penggantungan itu berjalan serentak pada perlawanan menentang Singapura bagi Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.

Dengan tindakan itu, Azam Azmi perlu menjelaskan bayaran dengan sebanyak RM4,400 dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan dibuat iaitu semalam.

Beliau juga diarahkan berkelakuaan baik dan tidak mengulangi perbuatan itu atau berdepan dengan tindakan lebih tegas ke atasnya pada masa akan datang.

Perlawanan skuad negara menentang Singapura hari ini adalah bagi menentukan siapa yang layak untuk ke separuh akhir.

Harimau Malaya perlu menang bagi memintas kedudukan Singapura di tangga  kedua Kumpulan B dan mengiringi Vietnam ke separuh akhir untuk menebus kekalahan 3-0 pada 27 Disember lalu.

Show More

Related Articles

Back to top button