Elak lari cukai, LHDN tetapkan syarat tambahan pengecualian cukai bagi pendapatan dividen luar negara
CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menetap tambahan syarat kelayakan pengecualian cukai bagi pembayar cukai yang layak dan mempunyai pendapatan dividen luar negara yang diterima di Malaysia mulai 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2026.
Menurut LHDN dalam satu kenyataan, menerusi syarat baharu itu pendapatan dividen luar negara tersebut hendaklah mematuhi syarat-syarat substantif ekonomi.
“Hal ini bagi memenuhi piawaian terkini pencukaian antarabangsa yang menetapkan sedemikian dan bermakna pembayar cukai perlu mematuhi syarat tambahan dengan membuktikan wujudnya hubungan yang jelas antara pendapatan dividen luar negara yang diterima dengan aktiviti sebenar di Malaysia.
“Tambahan syarat yang ditetapkan ini juga menggambarkan komitmen Malaysia dalam mematuhi piawaian pencukaian antarabangsa bagi mengelakkan pelarian cukai serta double non-taxation selaras dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh European Union,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, pendapatan dividen luar negara yang diterima di Malaysia yang dikecualikan cukai mulai 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2026 dengan dividen melibatkan syarikat telah tertakluk kepada cukai di negara asal manakala bagi kategori pembayar cukai melibatkan Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) kadar cukai tertinggi (headline tax) di negara asal sekurang-kurangnya 15 peratus.
Katanya lagi, bagi kategori pembayar cukai ahli kongsi individu berhubung dengan perniagaan perkongsian di Malaysia, mereka perlu mematuhi syarat-syarat substantif ekonomi.
“Tambahan syarat kelayakan iaitu syarat substantif ekonomi melibatkan syarikat pemastautin, PLT pemastautin atau individu pemastautin berhubung dengan perniagaan perkongsian di Malaysia dianggap mempunyai subtantif ekonomi sekiranya ia menggaji bilangan pekerja yang mencukupi dengan kelayakan yang diperlukan untuk menjalankan aktiviti ekonomi tertentu di Malaysia dan melakukan perbelanjaan operasi yang mencukupi untuk menjalankan aktiviti ekonomi tertentu di Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, selaras dengan tambahan syarat itu, pindaan kepada Garis Panduan Layanan Cukai Berhubung Pendapatan Yang Diterima Dari Luar Negara telah dimuat naik ke Portal Rasmi LHDN semalam dan Garis Panduan bertarikh 29 September 2022 adalah dibatalkan.
“Berikut adalah pautan capaian pantas garis panduan yang terkini tersebut untuk rujukan pembayar cukai. Versi Bahasa Melayu: https://www.hasil.gov.my/media/gggaite3/20221229-garispanduan-layanan-cukai-berhubung-pendapatan-yang-diterima-dari-luar-negarapindaan.pdf dan versi Bahasa Inggeris: https://www.hasil.gov.my/media/p0lntthw/20221229-guidelines-tax-treatment-in-relation-to-income-received-from-abroadamendment.pdf.
“Oleh yang demikian, bagi Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) yang dikemukakan sebelum atau pada 29 Disember 2022, pembayar cukai perlu mengemukakan pindaan BNCP sekiranya tambahan syarat kelayakan substantif ekonomi tidak dipatuhi dan tiada penalti akan dikenakan,” ujarnya.