Berita Semasa

Penternak Terengganu rugi lebih RM3.47 juta akibat banjir

KUALA TERENGGANU – Sektor pertanian Terengganu merekodkan kerugian lebih RM3.47 juta akibat banjir pada minggu lalu yang mengakibatkan kematian 43,789 ekor haiwan ternakan, kerosakan harta dan peralatan penternakan.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veteriner (JPV) Terengganu, Dr Anun Man berkata, jumlah haiwan ternakan yang terkorban semasa dan selepas banjir besar itu termasuk lembu, kerbau, kambing, biri-biri, ayam, itik, puyuh dan rusa.

Beliau berkata, daripada 712 laporan yang diterima setakat Ahad lalu, daerah Besut merekodkan kes tertinggi diikuti Setiu dan Kemaman.

“Ternakan ayam merekodkan jumlah kematian paling tinggi iaitu sebanyak 37,612 ekor diikuti puyuh (4,000), itik (1,442), lembu (502), kambing (142), biri-biri (64), kerbau (20) dan rusa (7).

“Kita tidak menolak kemungkinan berlaku peningkatan kes kerana masih ada penternak yang belum membuat laporan secara rasmi kepada JPV,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Anun berkata, kebanyakan haiwan tersebut dilaporkan mati akibat ditenggelami banjir, dihanyutkan arus deras dan kesejukan selepas tidak sempat diselamatkan susulan air naik secara mendadak.

Jelas Dr. Anum, selain kematian, banjir yang berlaku di Terengganu kerana fenomena Monsun Timur Laut turut menjejaskan 365,600 ekor ternakan lembu, kerbau, kambing, biri-biri, ayam, itik, puyuh dan rusa di seluruh negeri.

“Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah masih mengumpul data jumlah ternakan terjejas banjir dan kita minta penternak terlibat membuat aduan bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button