Berita Semasa

Johari kritik tiada koordinasi yang baik antara pemaju, wakil rakyat dan KWP dalam isu Kampung Sungai Baru

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Ghani mengkritik ketiadaan koordinasi yang baik antara pemaju, wakil rakyat dan Kementerian Wilayah Persekutuan dalam isu penduduk Kampung Sungai Baru yang diarahkan berpindah baru-baru ini.

Katanya, perkara tersebut telah menjadi “rumit” apabila lebih 90 peratus telah bersetuju untuk berpindah selepas arahan perpindahan tersebut dikeluarkan pada tahun 2019.

“Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku kepada mana-mana projek pembangunan semula pada masa akan datang.

“Kita perlu memastikan pemaju tidak mengambil kesempatan untuk menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 sewenang-wenangnya kepada pemilik yang tidak bersetuju dengan pembangunan semula,” katanya memetik laporan FMT.

Tambah Johari lagi, penduduk sepatutnya diberikan tempoh enam bulan untuk mencari tempat tinggal baharu.

Beliau menyarankan kepada pemilik yang memerlukan lebih masa untuk berpindah agar membuat surat rayuan kepada Jabatan Tanah & Galian dan pemaju. Beliau akan menyokong setiap permohonan tersebut.

Kata Johari, pertemuan juga sudah dibuat dengan Datuk Bandar bertujuan membantu menempatkan baki penduduk yang belum mendapat rumah, supaya dapat ditempatkan di rumah sewa awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Selain itu katanya, beliau juga akan melantik peguam bagi mewakili 90 peratus pemilik yang telah berpindah daripada kawasan itu agar dapat memantau supaya pemaju dapat memulakan projek berkenaan dengan segera, sekali gus memastikan unit baharu kediaman dikembalikan kepada pemilik yang sudah menunggu begitu lama.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pemilik yang telah dibayar pampasan sepenuhnya oleh pemaju perlu ditawarkan unit baharu, sekiranya mereka berminat untuk membeli kediaman itu apabila siap kelak.

Johari berkata demikian sebagai mengulas laporan mengenai baki penduduk Kampung Sungai Baru yang menentang projek pembangunan semula selepas diarahkan berpindah menjelang pertengahan Januari ini.

Sebelum ini media melaporkan, Jawatankuasa Bertindak Penduduk Kampung Sungai Baru berkata notis Borang K sudah dikeluarkan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Borang itu menyatakan penduduk diberi masa 30 hari (bermula minggu lalu) untuk mengosongkan kediaman masing-masing.

Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button