
Afghanistan: Larangan wanita bekerja, kumpulan bantuan kemanusiaan gantung operasi
KABUL – Beberapa kumpulan bantuan kemanusiaan mengumumkan pemberhentian operasi masing-masing di Afghanistan bermula semalam selepas pemerintah Taliban mengarahkan semua kakitangan wanita diberhentikan kerja.
Langkah pemerintah itu menimbulkan rasa tidak senang pegawai antarabangsa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta dikhuatiri akan mengakibatkan bantuan kemanusiaan terjejas teruk.
“Tanpa kakitangan wanita, bantuan kami tidak akan dapat mencapai golongan kanak-kanak, wanita dan lelaki dengan berkesan,” kata Save the Children, Majlis Pelarian Norway dan CARE dalam satu kenyataan bersama.
Kenyataan itu kemudiannya menyebut, mereka memutuskan untuk menangguhkan program sehingga pemerintah mengeluarkan penjelasan lanjut, selain menuntut lelaki dan wanita berganding bahu meneruskan bantuan menyelamatkan nyawa di Afghanistan.
Sementara itu, Jawatankuasa Penyelamat Antarabangsa (IRC), yang menyediakan tindak balas kecemasan dalam bidang kesihatan, pendidikan dan lain-lain serta menggaji 3,000 wanita di seluruh Afghanistan, turut menyatakan pihaknya menangguhkan perkhidmatan.
“Bagi IRC, keupayaan kami untuk menyampaikan perkhidmatan bergantung kepada kakitangan wanita pada semua peringkat pertubuhan kami.
“Jika kami tidak dibenarkan menggaji wanita, kami tidak dapat menyampaikan bantuan kepada mereka yang memerlukan,” kata kumpulan yang berpangkalan di New York itu dalam satu kenyataan.
Larangan itu adalah tamparan terbaru terhadap hak wanita di Afghanistan sejak Taliban merampas semula kuasa tahun lalu.
Dalam tindakan keras terbaru semalam, Taliban mengarahkan NGO tempatan dan asing menggantung perkhidmatan pekerja wanita, sekali gus mengekang lagi kebebasan golongan itu.
Dalam satu surat disahkan jurucakap Kementerian Ekonomi, Abdulrahman Habib, pekerja wanita tidak dibenarkan bekerja sehingga diberitahu kelak, disebabkan ada yang tidak mematuhi tafsiran pentadbiran mengenai kod pakaian Islam untuk wanita.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune