Jenayah & Mahkamah

Angkara buat bising, lelaki cedera dipukul jiran dengan kayu

AMPANG JAYA – Gara-gara didakwa membuat bising di luar apartmentnya, seorang lelaki cedera setelah jirannya bertindak memukulnya dengan kayu dalam kejadian di Kampung Baru, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian pada pukul 10.30 pagi itu, lelaki berusia 81 tahun bersama rakan wanitanya didatangi suspek, 69, dan dengan tiba-tiba memukulnya di bahagian mata dan belakang badan.

Suspek kemudian melarikan diri masuk ke rumahnya manakala mangsa dan rakannya juga melarikan diri dengan naik ke tingkat atas.

Susulan kejadian, mangsa bersama anaknya kemudian ke balai polis untuk membuat laporan.

Mohamad Farouk dalam satu kenyataan berkata, mangsa mengalami bengkak di mata sebelah kanan dan sakit di bahagian belakang badan.

Susulan kejadian, polis menahan suspek pada pukul 2 petang tadi dan merampas kayu berkenaan.

“Suspek mengaku terbabit dalam kes itu dan kejadian dipercayai berpunca kerana suspek tidak berpuas hati dengan mangsa yang dikatakan membuat bising di luar rumahnya dengan bercakap kasar,” kata Mohamad Farouk.

Suspek yang tiada rekod jenayah lampau itu difahamkan sedang mendapatkan rawatan di Bahagian Psikiatrik Hospital Ampang, namun pihak polis masih sedang mengesahkan dakwaan itu dengan pihak hospital.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button