
12 tahun NFC difitnah, akhirnya keadilan ditegakkan – Mohamad Salleh
KUALA LUMPUR – Pengerusi National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC), Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail meluahkan kesyukuran atas keputusan mahkamah yang melepas dan membebaskan beliau dan tiga anaknya daripada kes saman kerajaan ke atas projek Pusat Fidlot Nasional di Gemas, Negeri Sembilan.
Mohamad Salleh berkata, selama lebih 12 tahun, beliau dan keluarga menempuh pelbagai cabaran termasuk apabila isterinya, bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil terpaksa meletakkan jawatan atas arahan Kabinet.
“Alhamdulillah, saya memanjatkan kesyukuran kepada Allah Taala kerana fitnah-fitnah yang dilemparkan ke atas saya dan keluarga selama lebih 12 tahun, akhirnya terbukti salah.
“Terang lagi bersuluh, hakim membaca penghakiman bahawa tiada penyelewengan atau apa jua salah saku malah semua urusniaga termasuk belian hartanah dijalankan dengan tatakelola yang betul,
“Mahkamah Tinggi turut melepaskan ketiga-tiga anak saya sekali gus membetulkan tanggapan salah atau ‘hukuman yang dijatuhkan’ oleh pandangan umum terhadap saya dan keluarga sepanjang perbicaraan NFC yang bermula pada 2011,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Tambahnya, walaupun beliau telah dihukum terlebih dahulu oleh ‘mahkamah pandangan awam’, keputusan mahkamah baru-baru ini menyaksikan bahawa perundangan telah menegakkan kebenaran dan beliau reda dengan ujian yang telah ditimpa ke atasnya.
“Namun, hari ini, saya istiqamah dan amat yakin bahawa pertuduhan ini tidak pernah saya lakukan,” katanya lagi.
Semalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan membebas dan melepaskan Mohamad Salleh bersama tiga anaknya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

